CHI Wing cuma berlatih hanya beberapa hari sebelum menyertai kejohanan ini. FOTO ZULKARNAIN AZMAN
CHI Wing cuma berlatih hanya beberapa hari sebelum menyertai kejohanan ini. FOTO ZULKARNAIN AZMAN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bekas juara dua kali kejohanan badminton kebangsaan, Lim Chi Wing menunjukkan sentuhannya masih berbisa apabila menewaskan pilihan keempat kejohanan Ong Ken Yon hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara, Chi Wing bagaimanapun diberi tentangan sengit apabila sebelum memenangi perlawanan dalam aksi rubber set 19-21, 21-16, 21-15.

Chi Wing yang juga merupakan bekas juara kebangsaan dua kali itu berkata, dia nyata terkejut dengan persembahannya memandangkan dia tidak membuat persiapan rapi bagi menyertai kejohanan ini.

"Saya tak sangka boleh menang perlawanan ini kerana lawan saya itu bukan mudah kerana dia berlatih hari-hari. Saya cuma berlatih hanya beberapa hari sebelum menyertai kejohanan ini.

"Mungkin sebab tiada tekanan dekat saya di kejohanan punca saya boleh menang hari ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Chi Wing turut mendedahkan bahawa dia sudah bersara daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bermula tahun ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor umur dan ketiadaan penaja yang mahu membiayai dirinya ketika beraksi di luar negara.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi pemain kebangsaan, Ong Zhen Yi turut menerima nasib yang sama apabila tumpas kepada wakil Melaka Soh Ping Chuan straight set 14-21, 15-21 dalam aksi yang memakan masa 39 minit.

Bagaimanapun Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar berjaya menceriakan hari suram pasukan perseorangan lelaki kebangsaan apabila menang keatas wakil Pahang, Aaron Kok 21-11, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 5:38 PM