KEADAAN di luar kuil berkenaan, semalam.
KEADAAN di luar kuil berkenaan, semalam.
Agensi

Thiruvananthapuram: Kebakaran besar yang berlaku ketika pertunjukan bunga api di sebuah kuil di selatan India awal semalam menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 250 yang lain cedera.

Kebakaran berlaku selepas percikan api dari pertunjukan bunga api itu membakar simpanan bunga api lain di kompleks kuil Puttingal di kampung Paravoor, beberapa jam perjalanan dari Thiruvananthapuram, kata Menteri Dalam Negeri Kerala, Ramesh Chennitala.

Ribuan pengunjung bersesak-sesak di dalam kuil berkenaan sebelum letupan besar berlaku jam 3 pagi (waktu tempatan).

Kebakaran kemudian merebak dengan cepat, memerangkap pengunjung di dalam kuil berkenaan.

Seorang pegawai polis yang enggan namanya disiarkan berkata, lebih 100 orang terbunuh.

Letupan yang berlaku turut menyebabkan konkrit berterbangan sejauh satu kilometer, kata seorang penduduk, Jayashree Harikrishnan.

“Saya dalam perjalanan pulang dari kuil ketika pertunjukan bunga api hampir berakhir. Tiba-tiba letupan kuat kedengaran, diikuti beberapa lagi letupan,” kata seorang penduduk lain, Krishna Das.

Menurutnya, keadaan huru-hara berlaku selepas itu.

“Orang ramai menjerit sambil berlari. Bunyi ambulans juga kedengaran dalam kegelapan. Tidak ada siapa yang tahu bagaimana hendak keluar dari kompleks kuil itu,” katanya.

Enam ambulans berada di luar kuil berkenan sebelum itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, penduduk tempatan membantu polis dan pasukan perubatan menarik keluar mangsa yang cedera di bawah konkrit selepas bangunan tempat menyimpan bunga api itu runtuh.

Kebakaran berjaya dikawal menjelang pagi. Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih sesak dengan ribuan orang datang untuk mencari anggota keluarga yang dikatakan hilang.

Kuil berkenaan mengadakan pertandingan pertunjukan bunga api setiap tahun, menarik ribuan pengunjung selama tujuh hari berturut-turut, kononnya sebagai menghormati Dewa Badrakali.

Pertandingan kali ini diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa, kata Ketua Menteri Oommen Chandy. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 10:39 AM