Muhammad Apendy Issahak dan Mohd Hafizee Mohd Arop


“MAK tolong!” Itulah jeritan didengari saksi kejadian letupan dan kebakaran sebuah premis menjalankan perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, Ipoh, hari ini.

Kebakaran kira-kira jam 2 petang itu dipercayai mengakibatkan enam maut membabitkan lima pekerja dan seorang majikan.

Saksi P Appu, 48, yang juga abang kepada mangsa berkata, ketika kejadian adiknya Thiagarajan, 40, bersama isteri serta lima pekerja berada dalam premis yang turut menjalankan perniagaan pusat sehenti penganjuran majlis termasuk bahan letupan berlesen, bunga api, dan kesan khas.

“Saya pula berada di kaki lima premis ketika itu, dan tiba-tiba mendengar letupan kuat disusuli percikan bunga api serta kebakaran di tingkat atas bangunan dua tingkat berkenaan.

“Saya cuba membantu dengan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Takut, terkejut dan sedih apabila mendengar jeritan mangsa meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman perumahan berhampiran pada sebelah malam, dan tinggal di premis perniagaan adiknya itu pada waktu siang.

“Masa kejadian adik saya dan lima pekerja Melayu berusia lingkungan 20-an berada di tingkat atas, manakala adik ipar pula berada di ruang pejabat di tingkat bawah dan terselamat.

“Saya sudah tinggal di sini sejak adik menjalankan perniagaannya lebih 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu sebagai Ahmad, 50-an, berkata berlaku letupan kuat dan gegaran ketika kejadian berlaku.

“Ketika itu saya berada di rumah yang terletak kira-kira 150 meter dari rumah kedai berkenaan dan sebaik letupan berlaku saya keluar rumah untuk memeriksa.

“Saya melihat kepulan asap seperti cendawan berserta percikan dan letupan seperti pertunjukan bunga api dengan serpihannya berterbangan hingga ke kawasan perumahan kami,” katanya.

Berita berkaitan

Enam maut dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:35 PM
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kedai yang terbakar di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, Jelapang, Ipoh, hari ini. Foto MUHAIZAN YAHYA
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kedai yang terbakar di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, Jelapang, Ipoh, hari ini. Foto MUHAIZAN YAHYA