SKUAD UM dijangka turun dengan strategi bertahan bagi mengelak daripada menjadi mangsa belasahan JDT. FOTO UM
SKUAD UM dijangka turun dengan strategi bertahan bagi mengelak daripada menjadi mangsa belasahan JDT. FOTO UM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun hakikatnya wujud jurang besar antara kedua-dua pasukan, skuad Universiti Malaysia (UM) bertekad memberikan tentangan sengit terhadap Johor Darul Ta'zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Pengendali UM, Ridzuan Abu Shah sedar sejauh mana kekuatan pasukannya jika dibandingkan dengan Harimau Selatan yang memiliki segalanya untuk mendominasi pertembungan itu nanti.

Beliau menyedari ada jurang sangat jauh antara skuad bimbingannya dengan JDT, namun anak buahnya akan berusaha memberikan persembahan terbaik.

"UM sudah membuat persiapan yang perlu bagi memastikan tidak menjadi skuad belasahan pada pertembungan itu nanti.

"Kami akan cuba berikan persembahan terbaik dan semangat melawan tinggi terhadap JDT.

"Konsep kita kalau pasukan Liga Super pun menggunakan strategi bertahan apabila berhadapan dengan JDT, kami lebih lagi bertahan.

"Tiada siapa boleh menafikan kekuatan JDT berbanding kami yang tidak memiliki pemain import," katanya.

Ridzuan yang pernah membimbing pasukan Negeri Sembilan mengakui anak buahnya sangat teruja untuk beraksi menentang JDT, yang juga juara 10 kali Liga Super dan juara bertahan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:32 PM