Pementasan teater Haji Murat.
Pementasan teater Haji Murat.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon veteran Zaidi Omar menjadi penyelamat pementasan kedua teater Haji Murat yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Zaidi, 65, dipilih menggantikan tempat Dr Rosdeen Suboh yang melakonkan watak Imam Syamil sselepas pelakon terbabit kemalangan jalan raya pada sebelah petangnya.

Perkara ini dikongsi oleh seorang pelakon teater Haji Murat, Rasdi Daud menerusi Facebooknya SirRasdi SirRasdi.

"Dr. Kudin (Imam Syamil) yang sepatutnya beraksi terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tiada jalan lain persembahan harus diteruskan,

"Aris Othman (pengarah bersama teater Haji Murat) telefon sahabat baik kami, Zaidi Omar minta bantuan. Bila Zaidi sampai jam sudah pukul 6 petang," katanya.

Menurutnya, Zaidi mulanya menolak tawaran ini dan hanya bersetuju berlakon pada esoknya (hari ini).

Bagaimanapun Aris merayu Zaidi membantu mereka menyelesaikan masalah ini dan memberinya skrip teater ini dan menerangkan berkenaan latar cerita dan watak Imam Syamil.

"Kami panggil watak yang akan bermain dengan dia dan kami buat latihan sekejap. Zaidi minta bagi masa untuknya baca skrip.

"Alhamdulillah dalam tempoh dua jam Zaidi hadam skrip dan watak itu. Jam 8 malam panggung dibuka, manakala 8.30 persembahaan pun bermula.

"Zaidi Omar Imam Syamil jadi penyelamat kami untuk malam tadi dan dua malam yang berbaki lagi," katanya lagi.

Rasdi mengucapkan terima kasih kepada Zaidi dan mengakui kehebatan pelakon serba boleh itu.

"Terima kasih Zaidi, kau memang hebat aku tabik kau, tak semua pelakon Malaysia mampu buat apa yang kau buat ini, dalam dua jam saja kau dah lepas skrip dan dah siap 'in' karakter.

"Kepada Dr Kudin semoga dipermudahkan Allah segala usaha dan segera sembuh hendaknya, Amin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:12 PM