AMIR bersama ibunya selepas memenangi pingat emas acara judo kategori bawah 81kg, semalam. FOTO NSTP
AMIR bersama ibunya selepas memenangi pingat emas acara judo kategori bawah 81kg, semalam. FOTO NSTP
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Pemenang pingat emas judo dalam acara bawah 81 kilogram (kg) di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024, Amir Danial Abdul Majeed mahu berkongsi wang insentif RM3,000 dimenanginya dengan ibunya, Yeoh Suat Khim.

Selain menjadi pendorong terbesarnya dalam sukan itu, Suat Khim turut hadir menonton aksi final di Pusat Konvensyen Airlangga, semalam yang menyaksikan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu menumbangkan atlet tuan rumah, Yuta Gladius Taslim hanya dalam tempoh 40 saat menerusi 'ippon'.

Jelas Amir, kehadiran ibunya sememangnya banyak membantu membakar semangatnya untuk bertarung meskipun dia tidak berada dalam keadaan terbaik sebelum perlawanan kerana mengalami demam, batuk dan keletihan.

"Ibu memberi motivasi tambahan kerana dia akan sentiasa datang tengok perlawanan saya.

"Saya memang sasarkan pingat emas dalam acara ini, jadi sebab itulah saya perlu menunjukkan aksi yang baik walaupun baru pertama kali bertemu lawan.

"(Wang insentif) Bagi pada ibu saya kerana dia banyak membantu dan kemudiannya saya juga akan belanja jurulatih. Mereka banyak membantu kami, tetapi kami yang dapat ganjaran, kami mahu menggembirakan mereka.

"Selebihnya, saya akan simpan untuk pelajaran kerana bahan untuk kursus saya bukanlah murah, jadi RM3,000 ini sangatlah membantu," katanya yang mengambil kursus Sains Gunaan (Biologi).

Sebagai rekod, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Sea 2023 itu menghadiahkan pingat emas ketiga buat sukan judo selepas Nur Farrah Izzati Wallah bagi kategori bawah 52 kg dan Afiq Danish Zapri dalam kategori bawah 90kg.

Sementara itu, Suat Khim mengakui jantungnya bagaikan mahu terkeluar setiap kali melihat anaknya 'bergasak' di dalam gelanggang, namun situasi itu sama sekali tidak menyedihkan naluri keibuannya.

"Tak rasa sedih tetapi hanya teruja sebab kita boleh buat kesilapan dalam setiap pergerakan.

"Jika buat silap, mungkin akan menyebabkan dia tidak mendapat mata. Jadi saya hanya mahu dia buat gerakan yang baik ke atas lawan.

"Saya pun tidak takut (kecederaan) kalau kecederaan kecil, asalkan bukan patah sebab dia perlu berehat panjang," katanya yang turut menyaksikan aksi Amir di Birmingham, Sukan Sea Vietnam dan Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:22 PM