Imej daripada rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang cedera mendukung anaknya sebelum mendapatkan rawatan di hospital dalam kejadian kebakaran di kuil Puttingal Devi, Selatan India, awal pagi tadi. Reuters
Imej daripada rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang cedera mendukung anaknya sebelum mendapatkan rawatan di hospital dalam kejadian kebakaran di kuil Puttingal Devi, Selatan India, awal pagi tadi. Reuters
AP

New Delhi: Angka korban dalam kebakaran ketika pertunjukan bunga api di kuil Puttingal Devi, Selatan India, awal pagi tadi meningkat kepada lebih 80 orang manakala lebih 200 lagi cedera.

Menteri Hal Ehwal Negeri Kerala, Ramesh Chennithala berkata, api dipercayai tercetus daripada percikan bunga api yang terjatuh di sebuah bangsal tempat menyimpan bunga api di kuil itu yang terletak kira-kira 70 kilometer dari pusat bandar Thiruvananthapuram.

"Ribuan penganut Hindu memenuhi setiap ruang di kompleks kuil berkenaan ketika letupan berlaku kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan) dan api merebak dengan cepat menyebabkan ramai terperangkap," katanya.

“Siaran televisyen tempatan menyiarkan imej kepulan asap tebal dari kuil ketika pertunjukan bunga api masih berlangsung dan ada penduduk,Jayashree Harikrishnan mendakwa letupan kuat, menyebabkan serpihan konkrit dinding stor menyimpan bunga api berkenaan terpelanting hampir satu kilometer.

"Serpihan konkrit yang besar bertebangan dan jatuh di kawasan rumah kami," katanya.

Setiap tahun, kuil di daerah itu menganjurkan pertandingan pertunjukan bunga api untuk ribuan penganut Hindu yang berkumpul pada hari terakhir festival memuja tuhan Bhadrakali yang berlangsung selama seminggu.

Difahamkan, tahun ini pertandingan berkenaan dianjurkan secara haram berikutan Mahkamah Tinggi Kerala mengharamkan pertandingan bunga api diadakan di kuil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 1:26 PM