Keadaan dua rumah yang musnah  dalam kejadian kebakaran dan letupan di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Keadaan dua rumah yang musnah dalam kejadian kebakaran dan letupan di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dua rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, siasatan secara menyeluruh itu dibuat dari pelbagai sudut kerana kemusnahan dua rumah semi D terbabit bukan berpunca akibat kebakaran.

Menurutnya, kebakaran bermula dari letupan dipercayai berpunca daripada beberapa bahan termasuk mercun dan bunga api.

"Jika dilihat pada dasar kejadian ini, bahan yang berlaku letupan kemungkinan daripada dapur masak gas atau bahan lain yang masih dalam siasatan.

"Siasatan terperinci masih dijalankan untuk mendapatkan pengesahan (untuk mengetahui punca) yang menyebabkan berlakunya letupan yang dahsyat ini.

"Berdasarkan tinjauan, saya lihat ada silinder gas dan bunga api. Bagaimanapun, jika betul bunga api dan mercun kita ingin dapatkan kapasitinya sehingga berlaku letupan teruk hingga memusnahkan dua rumah, masing-masing 100 peratus dan 90 peratus," katanya kepada media di tempat kejadian, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki beusia dua tahun maut, lima cedera dan tiga selamat dalam kebakaran yang mengakibatkan dua rumah musnah.

Kebakaran itu juga menyebabkan tiga kenderaan terbakar iaitu satu kenderaan hangus, manakala dua kenderaan mengalami kerosakan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 11:46 AM