KEDIAMAN yang rosak teruk akibat letupan depoh minyak di Indonesia. FOTO AP
KEDIAMAN yang rosak teruk akibat letupan depoh minyak di Indonesia. FOTO AP
AFP

Jakarta: Angka korban akibat kebakaran di depoh simpanan bahan api Indonesia yang dikendalikan firma tenaga negeri Pertamina, meningkat kepada 33 orang manakala puluhan lagi dilaporkan cedera parah, kata pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat.

Pihak kerajaan menggesa siasatan segera terhadap kemudahan tenaga Indonesia itu susulan kebakaran melanda kawasan perumahan berhampiran pada 3 Mac lalu.

Kejadian itu memusnahkan rumah dan kenderaan berhampiran depoh di ibu kota Jakarta.

"Setakat ini, 33 orang meninggal dunia dan 11 masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan dilaporkan kritikal," kata jurucakap agensi kesihatan Jakarta, Luigi kepada AFP pada Jumaat.

Terdahulu, pihak berkuasa melaporkan sebanyak 18 kes kematian sehari selepas letupan.

Ribuan penduduk terpaksa berpindah apabila kebakaran berlaku dan agensi pengurusan bencana tempatan memaklumkan, semua mangsa sudah meninggalkan pusat pemindahan sementara.

Saksi menyamakan kebakaran itu seperti letupan bom menyebabkan penduduk panik dan melarikan diri melalui jalan yang sempit dengan api kebakaran menerangi di belakang.

Susulan kejadian, Pertamina memohon maaf dan salah seorang pengarah dipecat.

Firma milik kerajaan itu berkata, kebocoran paip dikesan sebelum kebakaran bermula.

Susulan kecaman terhadap kejadian letupan itu memaksa kerajaan mempertimbang untuk memindahkan kemudahan berkenaan atau penduduk yang tinggal berhampiran.

Presiden Joko Widodo melawat mangsa terselamat dan menggesa gabenor serta menteri Jakarta mencari penyelesaian bagi mengelak kejadian berulang.

Minggu lalu, Pengarah Pertamina Nicke Widyawati memberitahu pemberita, depoh itu tidak dapat dipindahkan serta-merta kerana mungkin mengganggu bekalan bahan api negara.

Kebakaran itu adalah antara kejadian yang berlaku di depoh berkenaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Kebakaran besar berlaku pada 2021 di kilang penapisan Balongan di Jawa Barat, juga dimiliki Pertamina dan salah satu kemudahan terbesar di Indonesia sebelum depoh sama dilaporkan terbakar pada 2009 serta 2014 yang turut merebak ke 40 rumah berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 3:33 PM