BOON Heong menjalani latihan bagi menghadapi  Terbuka Malaysia di  Shah Alam, semalam.
BOON Heong menjalani latihan bagi menghadapi Terbuka Malaysia di Shah Alam, semalam.
myMetro

Shah Alam: Pemain profesional Tan Boon Heong mengaku semakin sukar buatnya dan Koo Kien Keat menempah slot ke Sukan Olimpik Rio Ogos ini berbanding beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Namun, bekas gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu tetap tidak patah semangat untuk berusaha melayakkan diri sehinggalah tarikh kelayakan untuk ke temasya sukan dunia itu tamat Mei ini.

“Saya rasa mereka (V Shem-Wee Kiong) sudah jauh meninggalkan kami. Tapi, sebagai pemain kami tidak boleh mudah berputus asa.

“Kami akan cuba mengumpul sebanyak mungkin mata hingga bulan Mei nanti kerana ada beberapa lagi kejohanan yang akan disertai,” katanya.

Hanya satu beregu bagi setiap negara layak beraksi di Sukan Olimpik sekiranya menduduki kelompok 16 terbaik dunia.

Ketika ini V Shem-Wee Kiong dilihat mempunyai peluang lebih cerah apabila menduduki ranking ke-14 dunia berbanding Kien Keat-Boon Heong ke-16.

Mengulas mengenai Terbuka Malaysia yang bertatus Siri Super Perdana, Boon Heong berkata, mereka perlu melepasi halangan wakil Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda di pusingan pertama terlebih dulu sebelum memikirkan sasaran lebih jauh.

“Pusingan pertama pun sudah sukar. Tapi kami tetap sasarkan untuk menang dan terus melangkah ke pusingan kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:02 AM