V SHEM (kanan) dan Wee Kiong gagal atasi pemain Korea.
V SHEM (kanan) dan Wee Kiong gagal atasi pemain Korea.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jurulatih badminton beregu lelaki negara, Jeremy Gan tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Perancis, kelmarin.

Menurutnya, V Shem-Wee Kiong tidak beraksi dengan baik kelmarin yang menyaksikan mereka tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Ra dengan keputusan straight set, 11-21, 18-21.

“Mereka tidak bermain baik, terutama dari segi fokus terhadap permainan dan seperti kekeringan idea. Semuanya terlalu lembap,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, anak buahnya itu perlu bangkit dengan mempamerkan permainan konsisten menjelang kejohanan Grand Prix (GP) Emas Terbuka Jerman minggu depan.

“Saya mahu mereka bangkit dan kembali mempamerkan permainan konsisten di Jerman nanti,” kata Jeremy yang turut memuji kebangkitan bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Katanya, ini bukan persaingan di antara V Shem-Wee Kiong dan Kien Keat-Boon Heong untuk mencari slot ke Sukan Olimpik 2016 Rio, kerana kedua-duanya beraksi atas tiket negara Malaysia.

“Saya rasa ia bukan persaingan (antara V Shem-Wee Kiong dan Kien Keat-Boon Heong). Kami (BAM) juga mewakili Malaysia, ia lebih bagus jika kedua-duanya mampu melayakkan diri ke temasya berkenaan,” kata Jeremy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:16 AM