Dua penyamun yang ditangkap orang ramai. FOTO ihsan pembaca
Dua penyamun yang ditangkap orang ramai. FOTO ihsan pembaca
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Dua penyamun tewas dan ditangkap orang ramai selepas motosikal ditunggang terbabas ketika melarikan diri sejurus meragut beg seorang lelaki di gerai makan di Taman Kepong, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.10 malam itu, wanita warga Thailand berusia 38 tahun bersama teman lelakinya sedang makan sebelum didatangi dua lelaki dari belakang.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek menarik beg lelaki itu dan melarikan diri.

"Orang ramai yang melihat kejadian mengejar dua suspek warga tempatan berusia 31 dan 32 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 bernombor pendaftaran palsu.

"Suspek hilang kawalan dan terbabas menyebabkan mereka ditangkap oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/16 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan direman sehingga 4 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 2:44 PM