IZZAH Anwar.
IZZAH Anwar.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dunia perlu menghentikan hipokrasi mendabik dada memperjuangkan hak asasi manusia tetapi terus berdiam diri terhadap jenayah penghapusan penduduk Gaza, Palestin.

Israel secara terang-terangan menggunakan kebuluran dan pemindahan paksa sebagai senjata serta melanggar segala bentuk asas kemanusiaan ke atas orang awam di Gaza.

Penasihat Kehormat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) Nurul Izzah Anwar berkata Mahar terus menerus mendesak gencatan senjata untuk rakyat Palestin dan kemasukan bantuan kemanusiaan di Gaza.

"Presiden Israel Benjamin Netanyahu mengelak daripada menandatangani gencatan senjata demi kepentingan peribadi.

"Netanyahu yang berhadapan dengan tuduhan rasuah di Israel, menggunakan segala helah untuk mengelak mencapai persetujuan gencatan senjata.

"Serangan demi serangan terus dilancarkan terhadap rakyat Palestin bagi mencapai matlamat Netanyahu yang masih jauh dari sasaran iaitu menghapuskan Hamas, memusnahkan terowong dan keupayaan Al Qassam, membebaskan rakyat dan tentera Israel yang ditawan Hamas serta menukar pemerintahan di Gaza," katanya dalam kenyataan.

Seorang ibu Palestin dan anak-anaknya berjalan kaki di luar teater kebangsaan Palestin. FOTO AFP
Seorang ibu Palestin dan anak-anaknya berjalan kaki di luar teater kebangsaan Palestin. FOTO AFP

Beliau berkata, gencatan senjata adalah jalan terbaik untuk Israel di mana rejim itu perlu segera menamatkan pembunuhan penduduk Gaza yang tidak bersalah.

Menurutnya, naratif operasi ketenteraan Israel sudah tidak dapat lagi dipertahankan selepas terlalu ramai rakyat Palestin terbunuh majoritinya wanita dan kanak-kanak.

"Israel perlu berpijak dibumi nyata dan menyedari bahawa matlamat perangnya hamper mustahil untuk dilaksanakan.

"Paling tidak dengan gencatan senjata dapat mampu membebaskan rakyat dan tenteranya yang ditawan. Jika tidak, bukan hanya Netanyahu dan Israel yang perlu membayar harganya, Amerika Syarikat (AS) juga akan terheret sama," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 10:37 AM