LORENZO tidak bersetuju dengan persembahan yang mampu mengganggu kecergasan pemain. FOTO AFP
LORENZO tidak bersetuju dengan persembahan yang mampu mengganggu kecergasan pemain. FOTO AFP
Reuters

Miami: Colombia akan berusaha meraih gelaran benua kedua mereka apabila menentang juara bertahan Argentina di Stadium Hard Rock, Miami Gardens esok pagi, tetapi perlawanan itu bukan satu-satunya acara menarik dengan Shakira dijadualkan membuat persembahan pada rehat separuh masa.

Kofederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengesahkan bahawa persembahan Shakira akan berlangsung selama 20 minit, dan jurulatih Colombia, Nestor Lorenzo, menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan untuk memanjangkan rehat kerana ia mungkin memberi kesan kepada kecergasan pemain.

Lorenzo juga menambah bahawa badan induk bola sepak Amerika Selatan itu membenarkan ketibaan lewat di atas padang selepas separuh masa.

"Berkenaan dengan pertunjukan itu, saya harap semua orang menikmatinya. Shakira adalah artis yang cemerlang. Saya baru tahu hari ini. Saya rasa ia patut seperti perlawanan lain, 15 minit mengikut peraturan," kata Lorenzo dalam sidang akhbar.

"Apabila kami keluar selepas 16 minit, kami didenda. Sekarang ada pertunjukan dan kami perlu keluar selepas 20 atau 25 minit, dengan kesan yang mungkin ada pada pemain. Mereka mungkin menjadi kurang cergas dan kami tahu berapa sukar tempoh pemulihan itu dalam bilik persalinan."

Jurulatih itu menambah bahawa beliau mengharapkan pasukannya bermain dengan sempurna untuk mengalahkan Argentina, dan menekankan peranan pemain veteran James Rodriguez, yang memainkan pengaruh penting dalam skuad.

"Jika kami tidak membuat persembahan yang baik, kami tidak akan berada di sini. Untuk mengalahkan Argentina, kami perlu menjadi versi terbaik diri kami dan menggandakannya," kata Lorenzo.

"James melalui kejohanan yang sangat baik. Kami bernasib baik kerana dia berada dalam keadaan baik, mengambil kepimpinan pasukan dan pasukan menyokongnya. Dia adalah salah seorang yang terbaik dalam Copa ini," tambah Lorenzo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 11:16 AM