TANGKAP layar video tular kejadian seorang lelaki terpaksa meninggalkan motosikal yang ditunggangnya ketika meragut rantai leher emas seorang wanita warga emas di tepi Jalan Idris, di sini, minggu lalu. FOTO VIDEO TULAR Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular kejadian seorang lelaki terpaksa meninggalkan motosikal yang ditunggangnya ketika meragut rantai leher emas seorang wanita warga emas di tepi Jalan Idris, di sini, minggu lalu. FOTO VIDEO TULAR Ihsan Pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: Seorang wanita warga emas cedera selepas bergelut dengan peragut rantai leher emas miliknya di tepi Jalan Idris, di sini, minggu lalu.

Mangsa yang berusia 62 tahun dikatakan melompat naik ke atas motosikal yang dinaiki suspek selepas lelaki itu menarik rantai dan menyebabkan berlaku pergelutan dan terbabas.

Namun suspek bertindak meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri bersama rantai itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata kejadian berlaku sekitar jam 9.45 pagi, 10 April lalu ketika mangsa memberhentikan motosikalnya yang ditunggangnya di tepi jalan ketika dalam perjalanan daripada pekan Kampar menghala Jalan Gopeng.

"Suspek yang menaiki motosikal Yamaha LC135 warna ungu kemudiannya datang tiba-tiba menarik rantai leher emas yang dipakai mangsa.

"Siasatan mendapati mangsa diekori suspek dan apabila wanita itu memberhentikan motosikal, suspek terus merapati dan menarik rantai berkenaan.

"Tindakan mangsa terus melompat naik motosikal suspek menyebabkan ia terbabas. Pergelutan menyebabkan warga emas itu mengalami luka di lutut kiri dan kanan akibat terjatuh.

Katannya, usaha mengesan suspek masih diteruskan sehingga kini.

Terdahulu, kejadian samun itu tular selepas satu rakaman video dipercayai hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran yang berdurasi 1 minit 12 saat dikongsi di media sosial.

Berdasarkan visual itu, suspek kelihatan terpaksa meninggalkan motosikal ditunggangnya yang terbabas selepas orang ramai mula mendekati lokasi kejadian bagi memberi bantuan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 7:01 PM