Dayang Noorhusnina mencuri tumpuan pada pertandingan Joran Kewangan 2024.
Dayang Noorhusnina mencuri tumpuan pada pertandingan Joran Kewangan 2024.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pemancing wanita, Dayang Noorhusnina Awang Subohidin, 35, mencuri tumpuan apabila berjaya menaikkan lapan ikan seberat hampir 10 kilogram (kg) pada pertandingan Joran Kewangan 2024 anjuran Kelab Pemancing Perbendaharaan Putrajaya (KPP), semalam.

Kemampuan Dayang Noorhusnina itu turut menyumbang kepada kejuaraan buat pemancing Kementerian Kewangan (MOF) sebagai juara keseluruhan pasukan pada acara yang diadakan di Kampung Delek, Klang, Selangor.

Menurut Dayang Noorhusnina, minat memancing itu bermula sejak enam tahun lalu seterusnya menjadikan aktiviti itu sebagai hobi.

"Saya bukanlah pemancing tegar dan minat ini bermula pada 2018. Saya hanya memancing di kolam memancing sahaja kerana tak boleh ke laut akibat mudah mabuk laut.

"Ia lebih kepada hobi santai dan memancing ini mendidik kita untuk menerapkan nilai kesabaran dan bersyukur. Saya juga tidak menghabiskan wang untuk membeli peralatan memancing dan memiliki sekadar satu set peralatan," katanya.

Menurutnya, ikan paling besar pernah dinaikkan adalah ikan kerapu seberat 7kg ketika memancing bersama rakan-rakan.

Pertandingan Joran Kewangan 2024 dirasmikan oleh Setiausaha Kehormat KPP Abu Bakar @Salleh Jambol serta dihadiri barisan kepimpinan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Pertandingan yang bermula jam 8.40 pagi itu disertai lebih 350 kaki pancing daripada 13 Kelab Gabungan di bawah Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK).

Program itu sebagai antara aktiviti riadah anjuran KPP untuk memupuk kerjasama selain mengeratkan ukhuwah serta memupuk budaya sihat melalui sukan.

Bagi kategori terbuka individu, Mohd Najib Ariffin dari Lembaga Hasil Dalam Negeri menjuarai kategori ini selepas berjaya menaikkan ikan seberat 7.55kg diikuti Mohd Zull Izwan Nordin dari Bank Negara Malaysia (7.35kg) dan Rosman Subari dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (2.66kg).

Pemancing dari Kelab Pemancing Perbendaharaan mewakili Kementerian Kewangan merangkul kejuaraan dengan berjaya menaikkan 57 ekor ikan, diikuti LHDM sebanyak 55 ekor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebanyak 43 ekor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 10:46 AM