PENYOKONG Trump selepas insiden tembakan ketika berkempen Butler, Pennsylvania. FOTO AFP
PENYOKONG Trump selepas insiden tembakan ketika berkempen Butler, Pennsylvania. FOTO AFP
AFP

Kuala Lumpur: Suspek penembak yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas, mencederakan bekas Presiden Donald Trump semasa perhimpunan kempennya di Butler, Pennsylvania, pada Sabtu sudah ditembak mati.

"Anggota Perkhidmatan Rahsia AS sudah 'meneutralkan' penembak berkenaan yang kini telah meninggal dunia," kata Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia AS, Anthony Guglielmi di X.

Beliau berkata seorang penonton terbunuh, manakala dua lagi cedera parah.

Menurut beliau, penembak itu melepaskan tembakan ke arah pentas daripada kedudukan tinggi di luar lokasi perhimpunan.

Kejadian itu sedang disiasat dan Perkhidmatan Rahsia telah memaklumkan secara rasmi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Guglielmi berkata Perkhidmatan Rahsia AS telah bertindak balas dengan cepat dengan langkah perlindungan dan bekas presiden berada dalam keadaan selamat dan sedang dinilai.

Agensi Anadolu melaporkan Trump kelihatan cedera dan dilihat berlumuran darah pada telinga kanannya ketika beliau dipindahkan dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:59 AM