Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang peniaga sayur maut ditembak di Pasar Borong Pusat Bandar Utara Sentul di sini, kira-kira 11.40 malam tadi.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditembak dua kali di dada ketika dia baru selesai memunggah barang turun daripada lori.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata, seorang daripada saksi kejadian menyatakan dua lelaki menaiki motosikal menembak mangsa dari belakang sebelum melarikan diri.

"Mangsa yang parah di dada dibawa ke Hospital Selayang oleh isterinya namun disahkan meninggal dunia, 12.10 pagi ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 4:05 PM