TAWFIQ  (empat dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada ketua kontinjen Sabah sambil disaksikan Nasir  (tiga dari kanan) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.
TAWFIQ (empat dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada ketua kontinjen Sabah sambil disaksikan Nasir (tiga dari kanan) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.
Erdiehazzuan Ab Wahid

Kota Kinabalu: Lebih 900 atlet dan pegawai 14 Gabungan Agensi-Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan Awam Malaysia (GEMAPUTERA) seluruh negara berkampung di bandar raya ini untuk menyertai Sukan GEMAPUTERA Ke-14 yang bermula hari ini hingga 26 Mac ini.

Antara acara dipertandingkan termasuk golf, futsal, bola jaring, boling, karom, dart dan snuker.

Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, Sukan GEMAPUTERA kali ini turut mendapat penyertaan peserta daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) Holding dari seluruh negara.

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alu dan menggalakkan penganjuran sukan di semua peringkat sama ada organisasi, negeri atau nasional.

“Kejohanan ini sudah pasti dapat merapatkan masyarakat dengan aktiviti sukan atau riadah selain menerap budaya hidup sihat,” katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan GEMAPUTERA di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SEDCO Datuk Nasir Sakaran, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Pengiran Saifudin Pengiran Tahir dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri Datuk Hashim Paijan.

Terdahulu, Pengiran Saifudin berkata, sukan diperkenalkan sejak 1985 memiliki prestij tersendiri termasuk tradisi kegemilangan yang boleh dibanggakan.

“Saya percaya semua kontinjen sentiasa tertunggu-tunggu kejohanan dwi tahunan ini. Malah, saya difahamkan setengah kontinjen sudah membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi cabaran dalam sukan kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:46 AM