TEE Siew Kiong (empat kiri) diiringi Mo Bin (tiga kanan) dan Md Othman (dua kanan) melihat projek pelan pembangunan kilang IBS Forest City. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TEE Siew Kiong (empat kiri) diiringi Mo Bin (tiga kanan) dan Md Othman (dua kanan) melihat projek pelan pembangunan kilang IBS Forest City. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamad Fahd Rahmat


JOHOR bakal memiliki kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) terbesar dunia di Forest City dengan nilai pelaburan kasar (GDV) mencecah RM2.6 billion menjelang 2020.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Datuk Md Othman Yusof berkata, kilang menggunakan teknologi hijau itu dibangunkan melalui tiga fasa projek yang menempatkan enam kilang.

"Menerusi projek ini yang mengguna pakai trasnformasi teknologi terkini, ia mampu menghasilkan 260,000 kubik meter bahan IBS yang boleh digunakan untuk membina satu juta meter persegi keluasan bangunan.

"CGPV melabur kira-kira RM470 juta untuk pembinaan kilang pertama daripada tiga (fasa pertama) membabitkan keluasan 7.28 hektar ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan pembukaan kilang IBS Forest City, Gelang Patah, hari ini.

Majlis pelancaran kilang pertama hari ini, disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunan Johor, Datuk Tee Siew Kiong. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Country Garden Holdings Mo Bin, dan CEO CGPV, Su Baiyuan.

Sementara itu, Siew Kiong berkata kerajaan negeri mengalu-alu dan menyambut baik projek IBS daripada Forest City yang canggih itu kerana ia bakal mengubah lanskap sektor pembinaan Johor dengan pemodenan teknologi pembinaan.

"Johor memerlukan projek pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi pada masa yang sama kurang kebergantungan terhadap buruh dan meningkatkan pekerja berkemahiran semi-mahir kepada yang tinggi.

"Kerajaan negeri akan terus mengadakan pelbagai usaha dan inisiatif yang pro-perniagaan dan mesra pelabur bagi memastikan Johor mengekalkan kedudukan nombor satu dalam menarik pelaburan sektor pembuatan di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 10:25 PM