JURULATIH renang negara, Paul Birmingham. FOTO Owee Ah Chun
JURULATIH renang negara, Paul Birmingham. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


BIARPUN berat untuk melepaskan jurulatih renang negara, Paul Birmingham namun Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) tidak boleh mementingkan diri.

Setiausaha Agung ASUM Mae Chen berkata, perbincangan dari hati ke hati sudah dilakukan bersama Birmingham dan ASUM terpaksa melepaskan beliau selepas 10 tahun bersama skuad renang kebangsaan.

Menurut Mae, Birmingham memaklumkan perkara ini beberapa bulan lalu dengan surat peletakkan jawatan diserahkan kepada ASUM awal Jun lalu dan tugas terakhirnya ada Sukan Asia Indonesia bulan depan.

“Sudah pasti kita akan merasa kehilangan Paul, tapi ASUM tidak boleh pentingkan diri apabila beliau memaklumkan mendapat tawaran lebih baik.

“Ia sesuatu yang bagus untuk melebarkan sayap demi kerjayanya,” katanya.

Sepanjang 10 tahun bersama skuad renang negara, Birmingham berjaya membantu skuad renang negara dengan melahirkan bakat seperti Daniel Bego yang pernah menyumbangkan lima emas ketika Sukan SEA Laos, Khoo Cai Lin, Siow Yi Ting selain Phee Jing En dan Welson Sim.

Antara kejayaan paling membanggakan Birmingham adalah membimbing Welson sehingga layak ke temasya Olimpik Rio atas tiket kategori A dalam acara 200 dan 400 meter.

“Terima kasih Paul. Beliau seorang jurulatih yang bagus dan tidak dinafikan beliau banyak membantu perenang negara.

“Beliau adalah contoh jurulatih yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi selain banyak memberi motivasi kepada atlet dan hasilnya banyak rekod baru berjaya dicipta,” katanya.

Pada perkembangan yang sama Mae turut memaklumkan bahawa ASUM sudah mengeluarkan iklan jawatan kosong bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Birmingham di dalam laman web rasmi FINA, Persatuan Renang Amerika Syarikat selain Persatuan Renang Australia yang mana ASUM berharap jawatan itu akan dapat diisi sebelum atlet ke Sukan SEA Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 7:36 PM