CAI Lin alami masalah kesihatan sejak minggu lalu.
CAI Lin alami masalah kesihatan sejak minggu lalu.

Tiada emas dari perenang senior negara Khoo Cai Lin kali ini apabila sekadar meraih perak dalam acara 400 meter gaya bebas wanita.

Perenang kelahiran Selangor itu yang mengalami masalah kesihatan sejak minggu lalu sekadar mencatat 4 minit 17.79 saat, manakala emas menjadi milik Nguyen Thi Anh Vien dengan merakam rekod baru temasya 4:08.66s.

Perenang Thailand Ammiga Himathongkom gangsa dengan 4:20.20s. Seorang lagi perenang negara, Angela Chieng menduduki tempat terakhir 4:31.05s.

Menurut Cai Lin, dia masih belum sihat termasuk sakit tekak tetapi berusaha untuk berenang sebaik mungkin namun tidak berjaya.

“Saya masih lagi mengambil ubat kerana belum sembuh sepenuhnya. Bagaimanapun, saya gembira dengan pencapaian dan pingat yang saya raih ini. Saya juga berharap dapat beraksi lagi di Kuala Lumpur nanti,” katanya yang terpaksa menarik diri acara 800m gaya bebas Sabtu lalu.

Sementara itu, Phee Jinq En turut meraih perak acara 50m kuak dada wanita dengan catatan 32.46s, manakala rakan senegara, Erika Kong gangsa (32.58s). Emas milik Roanne Ho dari Singapura (31.45s).

“Saya mengharapkan warna pingat yang lebih baik berbanding gangsa. Sejak temasya Laos saya sudah bekerja keras untuk pingat pertama ini,” kata Erika.

Dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki, Kevin Yeap sekadar meraih gangsa dengan catatan 15:55.69s, manakala seorang lagi perenang negara, Vernon Lee kelima 16:15.89s.

Emas acara berkenaan dimenangi Lam Quang Nhat (Vietnam) dengan 15:31.03s dan perak milik Aflah Fadlan Prawira (Indonesia) 16:15.89s.

Kuartet 4x100m rampaian wanita pula dibatalkan penyertaan selepas menduduki tempat keempat semalam apabila didapati melakukan terjunan lebih awal dalam salah satu disiplin renang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 9:03 AM