Pasukan perubatan memberi rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera di pintu masuk stesen kereta api bawah tanah. - Foto Daily Mail
Pasukan perubatan memberi rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera di pintu masuk stesen kereta api bawah tanah. - Foto Daily Mail
Agensi

Brussels: Sekurang-kurangnya 23 terbunuh akibat tiga serangan bom dengan dua di balai berlepas Lapangan Terbang Zaventem, Brussels, manakala satu lagi stesen kereta api bawah tanah Maalbeek berdekatan dengan lebih 50 lagi dilaporkan cedera petang ini.

Menurut Daily Mail, letupan di lapangan terbang yang terletak berhampiran bangunan Kesatuan Eropah itu berlaku pada jam 8 pagi waktu tempatan menyebabkan 13 terbunuh diikuti letupan di stesen kereta api yang mengorbankan 10 lagi, ketika waktu puncak orang ramai keluar bekerja.

Saksi menyatakan melihat mayat yang terputus anggota badan selepas letupan berhampiran kaunter daftar masuk American Airlines.

Kira-kira 90 minit kemudian satu lagi letupan berlaku di stesen kereta api Maalbeek menyebabkan 10 terbunuh.

Stesen televisyen VRT menyatakan ia adalah serangan nekad dengan penyerang meletupkan diri mereka.

Reuters yang memetik agensi berita Belgan melaporkan, tembakan dan jeritan dalam bahasa Arab kedengaran sebelum dua letupan di balai berlepas.

Menurut agensi berita Belgan, polis menyatakan dua letupan kedengaran di lapangan terbang dengan imej di laman web RTBF menunjukkan asap kelihatan dari bangunan terminal serta tingkap pecah. Semua penerbangan masuk serta keluar dibatalkan.

Belum ada sebarang pengesahan mengenai punca letupan yang berlaku berapa hari selepas penahanan Saleh Abdesalem di Brussels, Jumaat lalu, suspek utama serangan bom di Paris yang membunuh 130 orang pada November. Saleh diburu pihak berkuasa seluruh Eropah sejak empat bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 5:40 PM