Kuala Lumpur: Skuad negara mempamer prestasi meyakinkan di sebalik ketiadaan Datuk Lee Chong Wei apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas Vietnam pada saingan awal Piala Axiata sekali gus memberikan permulaan baik untuk mereka dalam misi mempertahankan kejuaraan.

Chong Wei Feng yang juga kapten pasukan negara mencetuskan semangat apabila mudah menewaskan Nguyen Hoang Nam 21-13, 21-17 pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun pemain perseorangan wanita negara Ho Yen Mei gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 19-21, 13-21.

Pemain veteran Tan Boon Heong serta Hoon Thien How kembali meletakkan Malaysia di depan selepas mudah menewaskan gandingan Do Manh Thang-Le Ha Anh 21-17, 21-18 sebelum beregu campuran Chan Peng Soon-Ng Hui Lin sekadar melengkapkan jadual dengan menewaskan Duong Bao Duc-Dan Kim Ngati 21-16, 21-13.

“Sudah tentu kami gembira dengan kemenangan ini kerana memenuhi misi ditetapkan. Yen Mei mempamer aksi menarik tapi dia masih kurang berpengalaman pada saingan besar seperti ini.

“Saya yakin dia mampu memperbaiki prestasinya pada masa depan,” kata Wei Feng.

Mengulas mengenai perlawanan selepas ini, Wei Feng sedar tidak akan semudah seperti bertemu Vietnam.

“Kesemua perlawanan selepas ini agak sukar. Untuk saya, keyakinan memimpin pasukan sememangnya semakin tinggi.

“Apapun, kami sudah meraih permulaan yang baik dan harap ia dapat berterusan selepas ini,” katanya.

Skuad negara akan bertemu pasukan Asia hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:54 AM