TOMMY
TOMMY
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pasukan Indonesia melaungkan amaran untuk merampas Piala Axiata 2014 apabila membariskan barisan terkuat menjelang kejohanan berpasukan termahal dunia itu yang akan diadakan di Britama Arena Sports Mall, Kelapa Gading, Jakarta, bermula Khamis ini.

Beraksi di gelanggang sendiri pada pusingan awal sudah tentu akan menaikkan semangat Indonesia yang membariskan pemain nombor empat dunia, Tommy Sugiarto, Simon Santoso, Dionysius Hayom Rumbaka, Ihsan Maulana Mustofa, Linda Wenifanetri, Bellaetrix Manuputty, Hanna Ramadini dan Dinar Dyah Ayustine.

Pengurus pasukan Indonesia Ricky Soebagdja berkata, mereka mengumpul barisan terkuat untuk kejohanan edisi ketiga itu termasuk membariskan beregu lelaki nombor tiga dunia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, Markis Kido-Marcus Fernaldi Gideon, Sukamuljo-Selvanus Geh serta Wahyu Pankaryanira-Ade Yusuf.

Bekas juara dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir pula akan mengetuai barisan beregu campuran bersama Widianto-Richi Puspita Dili dan Praveen Jordan-Debby Susanto. “Sasaran kami muncul juara Piala Axiata tahun ini dan kami yakin mampu melakukannya,” kata bekas beregu lelaki Indonesia itu.

Malaysia membariskan Chong Wei Feng, Liew Daren (perseorangan lelaki), Tee Jing Yi, Ho Yen Mei (perseorangan wanita), manakala beregu lelaki Hoon Thien How, Tan Boon Heong dan Tan Wee Kiong, manakala barisan beregu campuran pula terdiri dari Tan Aik Quan-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Ng Hui Lin.

Satu lagi pasukan dari Asia Tenggara, Thailand pula membariskan Boonsak Ponsana, Tanongsak Saensomboonsuk, Ratchanok Intanon dan Porntip Buranaprasertsuk, manakala Vietnam mempertaruhkan pemain perseorangan lelaki, Nguyen Tien Minh untuk mengetuai cabaran.

Pasukan Pilihan Asia pula akan dilatih bekas pemain India, Pullela Gopichand dan pasukan itu akan dibarisi pemain hebat seperti pemain perseorangan Hong Kong, Hu Yun dan Kahsyap Parupalli dari India.

Kombinasi pemain Perancis, Scotland dan Russia pula membentuk pasukan Pilihan Eropah.

Mereka membabitkan pemain seperti Brice Leverdez, Kirsty Gilmour Ivan Sozonov, Vladimir Ivanov, Robert Blair dan Imogen Bankier.

Kejohana ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM3.3 juta) dengan juara meraih AS$400,000 (RM1.3 juta).

Lapan pasukan bersaing sesama sendiri di pusingan awal dengan format empat perlawanan - perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Empat pasukan teratas beraksi di separuh akhir dan akhir yang berlangsung di Stadium Persatuan Badminton Kuala Lumpur, Cheras pada 6 hingga 7 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:06 AM