Shamsul Munir Safini


Georgetown: "Saya kecewa Shabudin tidak mahu bersemuka dengan saya," demikian kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang kesal apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya tidak menerima jemputannya untuk bersemuka dalam isu pembelian banglo dan penjualan tanah kerajaan negeri, pagi ini.

Beliau berkata, dia kesal apabila Shabudin tidak berani menerima jemputan untuk bersemuka secara satu sama satu pagi ini di pejabatnya bagi membolehkan beliau menunjukkan bukti berkaitan tuduhan itu.

"Saya bersedia mendengar hujah dan menyemak sebarang bukti yang beliau pegang dalam pertemuan ini.

"Susulan itu saya akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan ke atas pembelian banglo di Jalan Pinhorn dilakukan secara adil, bebas dan profesional," katanya pada sidang media di KOMTAR pagi ini.

Sebelum itu, pagi ini Lim membawa 30 media tempatan melawat banglo berharga RM2.8 juta miliknya di Jalan Pinhorn.

Banglo dua tingkat itu dibeli Setiausaha Agung DAP itu pada Julai tahun lalu, melalui pinjaman bank RM2.1 juta dan wang tunai RM700,000.

Wakil media tempatan dibawa melihat ruang tamu, ruang makan dan dapurnya, namun tidak dibenarkan naik ke tingkat atas banglo berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 12:40 PM