RUMAH banglo yang terbakar dalam kejadian di Jalan Wadihana, Kampung Wadihana, Johor Bahru, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba dan Izlaily Nurul Ain Hussein
RUMAH banglo yang terbakar dalam kejadian di Jalan Wadihana, Kampung Wadihana, Johor Bahru, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba dan Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


BANGLO dua tingkat yang dihuni hampir 20 penyewa di Jalan Wadihana, Kampung Wadihana, Johor Bahru, terbakar, 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu, wanita berusia 50-an dilaporkan koma apabila terpaksa terjun dari tingkat atas kediaman berkenaan untuk menyelamatkan diri dan kini berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, untuk rawatan lanjut.

Menurut penyewa yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, 55, ketika kejadian, majoriti penyewa berada dalam bilik sewa masing-masing, malah dia sendiri sudah tertidur.

Katanya, keadaan tiba-tiba kecoh apabila penyewa lain menjerit memberitahu ada berlaku kebakaran dan apabila dia terjaga, dia melihat asap tebal di ruang rumah.

"Saya juga terpaksa terjun dari bilik di tingkat atas kerana terlalu panik dan hanya fikir mahu selamatkan nyawa dan kereta yang berada di luar rumah.

"Saya lihat ada tiga lagi wanita terjun bersama saya dari tingkat atas, namun saya dan dua lain selamat, tetapi seorang lagi dilaporkan koma.

"Dalam keadaan panik, saya cuba menghidupkan enjin kereta untuk membawa keluar kereta dari perkarangan rumah. Ketika itu saya nampak api yang dipercayai bermula dari sudut tepi sebuah bilik sewa di tingkat bawah mula merebak," katanya ketika ditemui di banglo itu, hari ini.

Rashid berkata, banglo persendirian itu memang kelihatan usang kerana usianya yang dipercayai sudah mencecah lebih 60 tahun, namun strukturnya masih kukuh dan dia sendiri sudah menyewa di kediaman itu sejak 2009.

Pekerja kontrak itu berkata, dia amat sedih dengan kejadian yang berlaku dan kini dia dan penyewa lain tinggal sehelai sepinggang.

"Kami dibenarkan bermalam di masjid berdekatan dengan bantuan pihak yang prihatin sementara mencari penempatan sewa yang baru," katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, seramai 20 anggota bomba dengan empat jentera dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diarah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan 11.05 malam.

Katanya, operasi yang membabitkan BBP Johor Bahru, Tebrau dan Skudai itu kemudian ditamatkan pada 2.49 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 5:30 PM