Agensi

Mugello: Pemegang petak pertama tahun lalu Andrea Iannone (gambar) memanfaatkan kepantasan jentera Ducati untuk mencatat masa terpantas sesi latihan bebas kedua dengan kelebihan hampir separuh saat di Mugello.

Selepas sesi pagi yang berlangsung dalam cuaca lembap, keadaan semakin kering pada sebelah tengah hari dan Iannone menamatkan sesi latihan pertama di Desmosedici dengan mengatasi Jorge Lorenzo.

Ramai pelumba termasuk Lorenzo berada di trek buat pertama kali selepas tidak menyertai sesi latihan bebas pertama.

Iannone yang menyertai Suzuki pada 2017, mencatat masa terpantas 1 minit 47.696 saat untuk mengatasi pendahulu Kejuaraan Dunia MotoGP Lorenzo yang menunggang Yamaha dengan kelebihan 0.461s, manakala penunggang uji Ducati Michele Pirro ketiga terpantas menamatkan sesi latihan, ketinggalan 0.549s daripada pendahulu.

Aleix Espargaro yang menunggang Suzuki mencatat masa keempat terpantas dengan catatan 1.48.270s manakala enam kedudukan teratas dilengkapi Marc Marquez yang menunggang Honda dan penunggang pujaan tuan rumah Valentino Rossi.

Rossi yang menggunakan sesi latihan bebas pertama untuk menguji pecutan sebaik keluar dari laluan pit, ketinggalan 0.6s berbanding rakan sepasukan Lorenzo dengan catatan terbaiknya 1.48.340s.

Penunggang muda Sepanyol Maverick Vinales yang akan menyertai Rossi di Yamaha musim depan, mencatat masa ketujuh terpantas dengan menunggang Suzuki GSX-RR, mengatasi pelumba Britain Scott Redding yang menduduki tempat kelapan.

Cal Crutchlow (LCR Honda) dan Pol Espargaro yang menunggang Yamaha melengkapkan 10 tangga teratas, ketinggalan 0.7s berbanding Iannone.

Dani Pedrosa yang mengesahkan kontrak baru dua tahun untuk kekal bersama Honda selepas khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan ke Yamaha berada di kedudukan ke-11, ketinggalan satu saat daripada pendahulu Danilo Petrucci.

Ia sesi yang mengecewakan buat Andrea Dovizioso berbanding rakan sepasukan Iannone di tangga ke-13, ketinggalan 1.1s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:03 AM