LORENZO rai kejayaan rampas pendahulu daripada Marquez.
LORENZO rai kejayaan rampas pendahulu daripada Marquez.
AFP

Le Mans, Perancis: Jorge Lorenzo mempamerkan aksi bertenaga untuk menjuarai Grand Prix Motosikal Perancis seterusnya menerajui kedudukan kejuaraan dunia, semalam.

Penunggang Yamaha itu melepasi garisan penamat lebih 10 saat berbanding rakan sepasukannya Valentino Rossi, sementara Maverick Vinales yang menunggang Suzuki menduduki tangga ketiga.

Lorenzo, yang merampas kedudukan pendahulu daripada Marc Marquez, melengkapkan minggu sempurna di Le Mans selepas memecah rekod pusingan terpantas pada sesi kelayakan kelmarin.

Juara dunia itu menikmati tengah hari yang tenang di litar bersejarah Bugatti dan berjaya mengelak kecelakaan apabila tidak kurang lapan pelumba gagal menyempurnakan aksi 28 pusingan itu.

“Ini perlumbaan yang amat penting, perlumbaan hebat untuk kejuaraan dunia,” kata Lorenzo yang kini mendahului lima mata di depan Marquez.

Marquez adalah antara pelumba yang mengalami kemalangan, namun dia bangkit kembali menunggang Honda untuk mengejar dari kelompok belakang.

Dari petak pertama Lorenzo bermula pantas untuk mendahului perlumbaan kelima musim ini.

“Saya mahu mengekalkan kepantasan dan tidak hilang tumpuan, saya terus memecut sepanjang perlumbaan,” katanya.

“Saya boleh bernafas lebih baik apabila Marquez dan Andrea Dovizioso mengalami kemalangan.”

Rossi adalah antara yang gembira kerana mampu menambah 20 mata kejuaraan dunia.

“Saya tewas banyak kali pada permulaan perlumbaan namun ia sesuatu yang normal jika anda bermula dari barisan ke-10,” kata pelumba Itali itu.

“Selepas memecut pantas, saya berjaya memintas Marquez dan Dovizioso namun Lorenzo terlalu jauh di depan.

“Saya gembira selepas hujung minggu yang sukar, 20 mata itu sesuatu yang bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:30 AM