RANGEL (dua dari kanan) tak puas hati dengan FAS.
RANGEL (dua dari kanan) tak puas hati dengan FAS.
Oleh Faizul Azlan Razak

[email protected].m

Kuala Terengganu: Tanda tanya sama ada penjaring terbanyak Liga Super Paulo Rangel menyertai Terengganu musim depan, bakal terjawab hari ini.

Ini kerana penyerang kelahiran Brazil itu akan tiba di negeri ini untuk menandatangani kontrak bersama Terengganu.

Sumber rapat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, memang pada dasarnya penyerang berusia 29 tahun itu bersetuju menyertai skuad Penyu musim depan.

Menurutnya, bekas penyerang Selangor kini masih berada di Kuala Lumpur dan akan hadir untuk perbincangan akhir di pejabat PBSNT.

“Apa yang boleh kami katakan, Rangel sudah 99 peratus bersetuju mewakili Terengganu musim depan dan akan berada di pejabat PBSNT untuk melihat syarat serta terma kontrak.

“Sekiranya tidak ada sebarang masalah, Rangel akan menandatangani kontrak bersama Terengganu, esok,” katanya kepada Arena, di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan desas-desus mengatakan Terengganu mahu mengambil kesempatan mendapatkan penyerang itu sekiranya dia bertekad meninggalkan Selangor.

Kontroversi mula tercetus apabila Rangel menerusi laman sosial Instagram miliknya menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa FAS tidak memegang janji kerana masih belum menjelaskan bayaran tertunggak RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:27 AM