Kuala Lumpur: Selangor dibayangi keresahan susulan kecederaan menimpa beberapa pemain utama menjelang pertembungan getir Liga Super dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ternyata satu mata yang dikutip ketika seri 1-1 dengan Pahang di Kuantan minggu lalu dibayar harga mahal selepas penjaga gol Norazlan Razali, pertahanan import Robert Cornthwaite dan penjaring gol perlawanan itu Andik Vermansyah mengalami kecederaan.

Meskipun kecederaan tiga tonggak itu masih belum dipastikan dan jurulatih Mehmet Durakovic berharap masalah itu tidak serius kerana khidmat pemain berkenaan cukup ditagih dalam aksi pertama di gelanggang sendiri musim ini.

“Ada beberapa pemain cedera, Robert Cornthwaite, Andik dan Norazlan. Saya akan ketahui tahap kecederaan itu malam ini. Tapi saya harap ia tidak serius dan mereka boleh diturunkan.

“Menentang Johor DT bukan mudah, mereka mempunyai ramai pemain bintang dan saya harap dapat menurunkan barisan terbaik. Kami akan cuba memberikan aksi terbaik seperti dilakukan ketika berdepan Pahang,” katanya.

Kemenangan pasti menjadi misi utama skuad Red Giants apabila beraksi di laman sendiri buat kali pertama musim ini selepas tewas 0-2 kepada Terengganu dan berkongsi satu mata dengan Pahang.

Selain masalah kecederaan, Mehmet, 49, juga berdepan masalah serangan susulan aksi kurang menjadi pemain penyerang terutama pemain import Guilherme de Paula yang dibawa masuk musim ini menggantikan penjaring terbanyak liga 2014, Paulo Rangel.

“Memang mereka belum menjaringkan gol, tapi berupaya mencipta peluang. Mereka berusaha keras dan saya percaya hanya masa akan menentukannya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:44 AM