CHRISTA
CHRISTA

Tulsa (Oklahoma): Seorang ibu muda ditembak secara tidak sengaja oleh anak lelakinya yang masih kecil ketika dia menukar lampin anak perempuannya yang berusia setahun.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang, ketika kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu terjumpa pistol separuh automatik dan kemudian melepaskan tembakan, terkena kepala ibunya, Christa Engles,” kata jurucakap polis Tulsa.

Christa, 26, mati di hospital sejam kemudian.

Ibu dan suami mangsa tiada di rumah ketika itu.

“Nenek kanak-kanak itu tiba dan mendapati kedua-dua cucunya berlumuran darah,” kata jiran, Vera Bennett kepada wartawan.

Polis berkata ada beberapa senjata api di rumah berkenaan tetapi kanak-kanak itu terjumpa pistol terbabit di bawah sofa sebelum melepaskan tembakan.

“Ketika kanak-kanak itu ditemubual penyiasat, dia berulang kali berkata: ‘Ibu ditembak,’” lapor stesen televisyen tempatan, KJRH-TV.

Sementara itu, suami mangsa, Brian Engles yang bekerja sebagai pemandu lori berada di luar daerah apabila dimaklumkan isterinya dimasukkan ke hospital akibat kecederaan ditembak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:05 AM