Detroit: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun didakwa atas tuduhan menembak mati seorang budak berusia tiga tahun di sebuah kediaman di timur Detroit.

Kanak-kanak itu - yang namanya tidak didedahkan disebabkan usianya - hadir ke mahkamah juvana kelmarin atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Elijah Walker dan menggunakan senjata api ketika melakukan kesalahan.

Peguam kanak-kanak itu meminta supaya prosiding diadakan bagi memastikan sama ada dia layak dibicarakan. Ikat jamin ditetapkan AS$5,000 (RM20,000) dan prosiding praperbicaraan dijadualkan pada 10 Ogos ini.

Pendakwa Wayne County, Kym Worthy dalam kenyataannya berkata: “Ini mungkin kali pertama kami mendakwa seseorang yang begitu muda bagi kesalahan seperti ini.”

Tertuduh dikatakan mengambil pistol dari almari bilik di rumah bapanya pada petang Isnin dan mencampaknya dari tingkap ke halaman belakang.

Dia kemudian mengambil pistol terbabit dan masuk ke kereta sebelum Walker yang mengikutnya ditembak di muka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:42 PM