Patrice Price, 26, dalam gambar ihsan keluarganya. - Foto AP
Patrice Price, 26, dalam gambar ihsan keluarganya. - Foto AP
AFP

Washington: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun secara tidak sengaja menembak mati ibunya yang sedang memandu selepas menemui pistol berkenaan yang melungsur keluar dari bawah tempat duduk pemandu, hari ini.

Wanita itu, Patrice Price, 26, disahkan mati di tempat kejadian di Milwaukee, Wisconsin. Peluru pistol yang ditembak kanak-kanak itu menembusi kerusi mengenai ibunya yang sedang memandu.

Pistol berkenaan dikatakan milik teman lelaki wanita itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikat akhbar Milwaukee Journal Sentinel. Ketika kejadian wanita itu memandu kereta teman lelakinya kerana keretanya dicuri sehari sebelum itu.

Polis menemui sarung pistol di bawah tempat duduk pemandu manakala pistol berada di atas lantai belakang.

Wanita itu mempunyai tiga anak dan ketika kejadian, seorang lagi anaknya yang berusia setahun serta ibunya berada dalam kereta itu.

Wanita itu sempat memberhentikan kereta dan berkata kepada ibunya, ‘Ibu, jangan biar saya mati’. Orang ramai menolak kereta berkenaan ke tepi jalan dan menunggu pasukan perubatan tiba memberi bantuan kecemasan namun gagal menyelamatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 3:46 PM