POLIS bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan. FOTO AFP
POLIS bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan. FOTO AFP
Reuters

Washington: Seorang lelaki bersenjatakan senapang dan pistol membunuh empat orang di sebuah hospital di Tulsa, Oklahoma, semalam, sebelum membunuh dirinya sendiri.

Tindakan balas pantas polis terhadap kejadian itu membantu memastikan lebih ramai orang tidak cedera, kata polis.

Polis tiba di Hospital St Francis tiga minit selepas menerima panggilan mengenai tembakan dan mengikuti bunyi tembakan sehingga ke tingkat dua sebuah bangunan di hospital berkenaan, kata Timbalan Ketua Polis Tulsa Eric Dalgleish kepada pemberita.

Pegawai menghubungi mangsa dan suspek lima minit kemudian, kata Dalgleish.

Tindak balas pantas polis itu susulan kes seorang remaja lelaki bersenjata membunuh 19 kanak-kanak dan dua guru di dalam bilik darjah sekolah Texas minggu lalu, sementara pegawai menunggu di luar selama hampir sejam.

Insiden di Tulsa itu adalah yang terbaharu dalam siri tembakan besar-besaran yang mengejutkan rakyat Amerika dan mencetuskan semula perdebatan tentang kawalan senjata.

Dua minggu sebelum penembakan Uvalde, seorang lelaki kulit putih bersenjata membunuh 10 orang di sebuah pasar raya di kawasan kejiranan kulit hitam di Buffalo, New York.

Dalam kejadian terbaharu ini, polis berkata, mereka cuba mengenal pasti identiti suspek dan menganggarkan dia berusia antara 35 dan 40 tahun.

Bangunan Natalie menempatkan pejabat doktor termasuk pusat ortopedik, katanya sambil menambah dia percaya semua mangsa terbabit adalah pekerja dan pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 10:38 AM