TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada warga Lawas ketika tiba untuk merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas. FOTO Mohd Radzi Bujang
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada warga Lawas ketika tiba untuk merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas. FOTO Mohd Radzi Bujang
Mohd Razlan Salleh


Lawas: Seramai 26,660 penagih baru di seluruh negara termasuk paling muda berusia seawal tujuh tahun dikesan, tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keseluruhan angka penagih direkodkan mencecah lebih 280,000 orang.

"Pada 2014, penagih termuda dicatatkan berusia 14 tahun manakala agak mengejutkan tahun lalu apabila murid seawal usia tujuh tahun didapati sudah menagih dadah.

"Kajian juga mendapati, sebanyak 73 peratus penagih dikesan berusia antara 18 hingga 39 tahun," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas, di sini, pagi tadi.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Suhaimi Abdullah.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengambil perhatian segera mengenai perkara ini kerana membabitkan usia masih muda termasuk dari bangku sekolah.

"Pengedar dikesan memberi gula-gula mengandungi dadah kepada murid bertujuan mewujudkan ketagihan.

"Ini bermakna mereka (pengedar) cuba mewujudkan situasi 'edar dahulu, permintaan kemudian' yang mewujudkan penagih baru," katanya.

"Saya akan memastikan KPM memasukkan perkara ini dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI)mereka pada tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, akhbar Harian Metro (HM) menandatangani Nota Perjanjian Strategik bersama AADK bertujuan mempertingkatkan pengetahuan umum mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

HM diwakili Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar manakala AADK diwakili Suhaimi sambil disaksikan Ahmad Zahid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 12:53 PM