PENAGIH dadah yang ditahan di FELDA Keratong dan Muadzam Shah, semalam.
PENAGIH dadah yang ditahan di FELDA Keratong dan Muadzam Shah, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Penagih dadah yang mahu diburu namun sebaliknya penjenayah berbahaya dikenali sebagai Mie Bodo yang diberkas.

Itu yang berlaku dalam operasi khas pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di FELDA Keratong dan Muadzam Shah, Pahang, semalam.

Operasi itu susulan maklumat berhubung kehadiran penagih dadah dalam kalangan belia di kawasan berkenaan.

Jurucakap AADK berkata, risikan mendapati kumpulan penagih dadah terbabit kerap mengganggu ketenteraman penduduk kampung.

“Dalam serbuan bermula jam 6 pagi, STRIKE memberkas 10 penagih agresif di dua ‘sarang’ tumpuan pengedar dadah.

“Turut diberkas seorang lelaki yang dikenali sebagai Mie Bodo yang dikehendaki polis berikutan sering melakukan jenayah pecah premis,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah bagi mendapatkan bekalan membeli dadah.

“Ketika serbuan, lelaki terbabit didapati positif methamphetamine dan cuba melarikan diri, namun ditahan STRIKE.

“Hasil tinjauan STRIKE dibantu AADK Daerah Rompin ke sarang penagihan yang pernah diserbu AADK sebelum ini menunjukkan impak positif apabila lokasi berkenaan tidak lagi aktif.

“Mereka tidak lagi menjadikan kawasan itu sebagai lokasi untuk menagih dadah beramai-ramai, sebaliknya cuba berpindah ke sarang baru.

“Kami berharap masyarakat setempat turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada AADK supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Dia berkata, semua penagih terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“individu yang dikenali sebagai Mie Bodo diserahkan kepada polis.

“Gerakan operasi khas yang menyasarkan kegiatan penyalahgunaan dan pengedar dadah di kawasan luar bandar akan dipertingkatkan oleh STRIKE,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:21 AM