RAJA Azura bergambar bersama peserta program.
RAJA Azura bergambar bersama peserta program.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) mengalu-alukan pembabitan lebih banyak rakan program baru dalam sektor berpotensi untuk menjalin kerjasama dalam tempoh empat tahun.

Pendekatan itu selaras dengan Pelan Tindakan Yayasan Peneraju Menuju 2020 yang memberi tumpuan untuk melatih dan menyediakan seramai 40,000 bakat Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi menjelang tahun berkenaan.

Bagi mencapai sasaran itu, Program Pembangunan Rakan Program Yayasan Peneraju dilancarkan, minggu lalu.

Program yang disempurnakan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin itu bertujuan merai dan berkongsi kejayaan bersama rakan program sedia ada, selain menarik lebih banyak rakan baru untuk menjalin kerjasama.

Raja Azura berkata, program itu adalah persediaan proaktif yayasan berkenaan sebelum pelaksanaan Gelombang 3 Pelan Tindakan Yayasan Peneraju Menuju 2020 yang bakal bermula dari tahun 2018 hingga 2020.

“Ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun keempat penubuhan Yayasan Peneraju sejak mula beroperasi pada 14 Februari 2012,” katanya.

Dalam Gelombang 3, tumpuan turut diberikan kepada rakan program yang dapat memainkan peranan lebih aktif dan berkesan bagi memastikan bakat Bumiputera mampu kekal bersaing dalam pasaran kerja di dalam dan luar negara.

“Dalam persekitaran landskap ekonomi yang kini semakin mencabar, kita tidak boleh bergantung kepada sektor tertentu sahaja.

“Ini kerana sektor yang dahulunya berpotensi menjanjikan peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan tinggi seperti minyak dan gas serta perkhidmatan kewangan kini turut menerima tempias daripada ketidaktentuan ekonomi global.

“Kami menyedari hakikat itu. Oleh itu, pelancaran program ini tepat pada masanya, lebih-lebih lagi sempena ulang tahun penubuhan Yayasan Peneraju keempat pada bulan ini,” katanya.

Program itu inisiatif Yayasan Peneraju bagi membantu rakan program menilai dan menambah baik strategi korporat sedia ada agar bertepatan dengan visinya.

Setakat ini, ada lebih 40 Rakan Program berpengalaman daripada pelbagai sektor kritikal bekerjasama dengan Yayasan Peneraju bagi membangunkan bakat Bumiputera agar mereka dapat berdaya saing dalam pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pemain industri yang berpotensi sebagai rakan program terdiri daripada pelbagai sektor, antaranya logistik, elektrikal dan elektronik, minyak dan gas, kandungan komunikasi dan infrastruktur, kesihatan, pelancongan serta perkhidmatan perniagaan dan kewangan.

“Melalui kerjasama ini, peserta program Yayasan Peneraju akan dapat diserapkan ke sektor yang akan membantu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Pembabitan rakan program termasuk dari segi penyediaan pembiayaan pendidikan, latihan, kemudahan latihan industri serta penempatan pekerjaan.

Hampir 8,000 bakat Bumiputera mendapat faedah daripada program anjuran Yayasan Peneraju iaitu program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional sejak empat tahun lalu.

Yayasan Peneraju inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dengan fokus mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera melalui pendidikan akademik dan vokasional selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 9:49 AM