NAJIB mempengerusikan mesyuarat, semalam.
NAJIB mempengerusikan mesyuarat, semalam.

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan memperuntukkan RM72 juta untuk membangunkan 5,000 modal insan Bumiputera tahun depan.

Perdana menteri berkata, daripada 5,000 itu, 500 adalah pelajar yang akan menerima tanggungan biasiswa Peneraju Tunas, 3,500 biasiswa Peneraju Skil dan 800 hingga 1,000 biasiswa Peneraju Profesional termasuk 500 biasiswa untuk program perakaunan.

Program perakaunan itu merangkumi program pensijilan asas seperti CAT, CFAB, CAB-CIMA dan Pensijilan Profesional seperti ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW, dan MICPA-ICAA.

“Kami (kerajaan) juga akan melihat dalam Gelombang Kedua yang merangkumi tempoh 2015 hingga 2017. Peruntukan sedang dipohon. Kami akan maklumkan selanjutnya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju di sini, semalam.

Hadir sama pada mesyuarat itu termasuk Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera Raja Azura Raja Mahayuddin, Ketua Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Husni Salleh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Datuk Dr Rahamat Bivi Yusof.

Yayasan Peneraju mula beroperasi pada Februari 2012 bertujuan memenuhi aspirasi kerajaan bagi memastikan golongan Bumiputera berdaya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam mencapai hasrat negara maju menjelang 2020.

Ia adalah tabung amanah diwujudkan untuk memastikan keupayaan dan kepakaran bakat Bumiputera terus membangun untuk berdaya saing secara kompetitif di peringkat global.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata lebih 4,000 orang mendapat tajaan biasiswa di bawah tiga program teras iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional sejak yayasan itu beroperasi dan kini mengakhiri gelombang pertamanya pada akhir tahun ini.

Beliau berkata, Yayasan Peneraju juga memberi tumpuan kepada pelajar yang datang daripada kumpulan keluarga berpendapatan 40 peratus ke bawah.

“Kami sedar ramai pelajar yang pencapaiannya sederhana, tetapi berpotensi tinggi kerana latar belakang keluarga yang miskin. Oleh kerana kekangan yang ada, mereka tidak dapat merealisasikan potensi sepenuhnya.

“Jadi di sinilah peranan Yayasan Peneraju untuk melihat bagaimana mempertingkatkan pencapaian mereka di peringkat sekolah menengah, peringkat kemahiran dan juga peringkat pendidikan tinggi,” kata perdana menteri.

Sementara itu, Raja Azura berkata Yayasan Peneraju menyasarkan 17,000 pemegang biasiswa dalam gelombang kedua (2015-2017).

“Kami akan tingkatkan program jangkauan dengan bantuan Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti lebih ramai pelajar yang mempunyai keputusan sederhana dan menggilap potensi mereka,” katanya.

Sejak beroperasi pada 2012, beliau berkata, 1,401 pelajar menerima biasiswa penuh di bawah Peneraju Tunas membabitkan tajaan program Peneraju Tunas Geliga (program lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah memasuki sekolah menengah) dan Program Peneraju Tunas Potensi (program lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia).

Najib juga memaklumkan 27 daripada 500 pemegang biasiswa sedang dan akan melanjutkan pengajian di beberapa universiti antara 50 yang berprestij di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:20 AM