Mohammad Asyraf Khalib

YAYASAN Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) bagi membuka laluan kepada lebih ramai bakat Bumiputera menjadi Chartered Banker.

MoU itu ditandatangani pada 24 November lalu oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kol. Bersekutu (PA), Yayasan Peneraju, Ts Mohd Muzzammil Ismail, dan Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling.

Ia disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid dan FCB, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim.

Menerusi kolaborasi itu, kedua-dua pihak bersetuju membangunkan saluran yang mampan bagi Chartered Banker Bumiputera melalui program Peneraju Profesional Chartered Banker. 

Setakat ini, seramai 25 peserta sedang mengikuti program terbabit.

Selain daripada kelayakan Chartered Banker, Yayasan Peneraju menyasarkan untuk mendaftarkan 400 profesional untuk pelbagai pensijilan di bawah Perkhidmatan Kewangan & Perniagaan pada 2022.

Ia termasuk Certified Internal Auditor (CIA), Chartered Financial Analyst (CFA), Certified Shariah Practitioner (CSP), dan Certified Shariah Auditor (CSA).

Datuk Mastura, berkata Yayasan Peneraju sudah memperluaskan pensijilan profesional yang ditawarkan di bawah teras Peneraju Profesional untuk menggalakkan penyertaan bakat Bumiputera dalam industri dan kerjaya yang relevan. 

Ini bagi memastikan tenaga kerja Malaysia yang baru memasuki pasaran kerja mampu memenuhi keperluan organisasi yang terus berkembang hasil daripada inovasi digital, integrasi serantau dan peralihan demografi pelanggan.

"Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis. 

"Bilangan tenaga kerja Bumiputera yang diperakui sebagai Chartered Banker masih rendah jika dibandingkan dengan pertumbuhan berterusan dan permintaan sektor itu. Oleh itu, terdapat keperluan membawa lebih ramai profesional Bumiputera dalam sektor kewangan dan perbankan untuk menangani jurang itu," katanya.

Dengan kemunculan megatrend global seperti teknologi 'disruptive', peralihan demografi ke arah pembandaran yang lebih besar, dan penduduk menua, adalah penting untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan mahir dan profesional.

Image

Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim, berkata pemeteraian MoU hari ini menandakan komitmen kukuh Yayasan Peneraju dan AICB untuk membina saluran mampan bakat Bumiputera dengan kemahiran dan keupayaan yang selari dengan keperluan industri.

"Melalui program Chartered Banker, kita berupaya melengkapkan bakat Bumiputera dengan kelayakan perbankan profesional yang diiktiraf di peringkat global dan jawatan profesional berprestij untuk terus maju dalam persekitaran perbankan global yang sentiasa berkembang," katanya.

Beliau juga berkata kerjasama itu memberi peluang terbaik untuk mengembangkan fraterniti Chartered Banker yang kini berjumlah lebih 500 orang, dan seterusnya menanamkan profesionalisme dan integriti jurubank masa depan. 

Program Chartered Banker, yang dijalankan dengan kerjasama Chartered Banker Institute, UK, adalah piawaian emas dalam perbankan dan direka untuk melahirkan jurubank yang relevan dan berpengetahuan luas tentang industri.

Ia merangkumi piawaian profesionalisme, kecekapan dan kelakuan beretika tertinggi, yang akan mengukuhkan kepercayaan orang ramai dan mengesahkan semula komitmen industri untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat.

Beliau juga menambah, setelah tamat program Chartered Banker, seseorang itu boleh memperoleh MBA Chartered Banker dalam tempoh satu tahun melalui laluan singkat khusus yang ditawarkan oleh Asia Banking School dan Bangor Business School, UK. 

"Agensi kerajaan seperti Yayasan Peneraju dan badan profesional seperti AICB perlu bekerjasama untuk memastikan kita terus melahirkan profesional berkualiti yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang pesat," kata Mastura.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju berjaya melaksanakan pelbagai program pembiayaan meliputi program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis.

Ia termasuk program perbankan dan kewangan yang sesuai dengan semua golongan Bumiputera bermula daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga pelajar universiti serta profesional yang bekerja dan menganggur. 

Hari ini, Yayasan Peneraju berjaya merealisasikan aspirasi lebih 40,000 penerima manfaat dari seluruh Malaysia melalui lebih 350 program pembiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 3:47 PM