Raja Azura (tengah)  pada taklimat media mengenai program peneraju profesional CFA, semalam.
Raja Azura (tengah) pada taklimat media mengenai program peneraju profesional CFA, semalam.

Kuala Lumpur: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) komited untuk meningkatkan bilangan Chartered Financial Analysts (CFA) atau Penganalisis Kewangan Bertauliah Bumiputera bertujuan membantu usaha kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, Peneraju Profesional CFA adalah program atau inisiatif diwujudkan bertujuan meningkatkan bilangan profesional Bumiputera bertauliah dalam pelbagai sektor utama terutama perkhidmatan kewangan.

Sehingga Julai lalu, negara mengalami kekurangan kritikal pemegang CFA di Malaysia di mana hanya terdapat 576 pemegang CFA di Malaysia dengan 62 orang atau 11 peratus daripada jumlah itu adalah pemegang CFA Bumiputera.

“Secara keseluruhannya, jumlah pemegang CFA di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara seperti Singapura yang memiliki 3,000 pemegang CFA dan Hong Kong (5,800),” katanya pada taklimat media mengenai program peneraju profesional CFA, di sini, semalam.

Yayasan Peneraju menyeru kepada individu berminat mengikuti program terbabit di mana ia terbuka kepada warga Bumiputera berumur tidak melebihi 40 tahun dan memiliki Ijazah Kepujian dalam sebarang disiplin terutama pengajian berkaitan kewangan.

Raja Azura berkata, Yayasan Peneraju berjaya membangunkan lebih 5,000 bakat Bumiputera sejak ditubuhkan pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 6:35 AM