TERTUDUH dibawa keluar selepas menghadapi 22 pertuduhan menipu. FOTO Zaman Huri Isa
TERTUDUH dibawa keluar selepas menghadapi 22 pertuduhan menipu. FOTO Zaman Huri Isa
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Bomoh warga Indonesia dipenjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap 22 pertuduhan menipu dua penjawat awam sejak Disember 2014.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Riskiyah Jumali, 42, mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Mengikut pertuduhan petama hingga ke-21, tertuduh didakwa menipu Faizah Mohamad, 39, bermula 7 Mei 2015 hingga 2 Julai 2015 di sekitar Kubang Kerian membabitkan transaksi wang tunai sebanyak RM67,500.

Tertuduh didakwa memperdaya mangsa dengan berjanji akan memberi pulangan lumayan bagi perniagaan runcit.

Bagi pertuduhan ke-22, tertuduh didakwa memperdaya Norai Salleh, 42, dengan tujuan serupa sehingga mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 di Bandar Baru Kubang Kerian, antara Disember 2014 hingga April 2015.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan atau denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 3:55 PM