Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang peniaga dalam talian dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap enam pertuduhan menipu imam masjid antara 9 Ogos hingga 12 September lalu.

Tertuduh, Shah Jahan Sazali, 36, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa menipu mangsa yang juga bakal bapa mentuanya, Mad Rozali Botok, 65, kononnya menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM24,200.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di antara 9 Ogos hingga 12 September lalu di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, di sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun hingga tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail.

Yusnaliza dalam pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan itu serius.

Bagaimanapun, Intan Nor Nadhirah merayu supaya mahkamah memberi hukuman minimum memandangkan lelaki itu mengaku bersalah dan sudah insaf.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman masing-masing penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh jatuh hukuman.

Dalam prosiding berasingan, Shah Jahan mengaku bersalah terhadap tujuh lagi pertuduhan membabitkan kes penipuan terhadap mangsa yang sama dan seorang lagi mangsa lain di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam tertuduh didakwa memperdaya Mad Rozali dengan mendakwa menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM16,000.

Perbuatan itu dilakukan antara 28 Jun hingga 5 September lalu di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, di sini. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun hingga tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Sementara itu, dalam satu lagi pertuduhan Shah Jahan didakwa memperdayakan pesara guru, Husin Md Ali, 74, yang menyerahkan sebuah kereta jenis Proton Waja untuk dibaiki.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ariyani Mohd Amin.

Muhammad Fitri menetapkan tarikh 28 November depan untuk sebutan semula kes bagi tujuh pertuduhan itu.

Terdahulu media melaporkan, seorang imam masjid kerugian lebih RM50,000 selepas ditipu bakal menantunya sejak Jun hingga pertengahan September lalu.

SHAH Jahan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAH Jahan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 3:46 PM