Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Gara-gara memperdaya beberapa remaja membabitkan tawaran menjadi pelakon tambahan dan menyamar sebagai kakitangan Media Prima Berhad (MPB) seorang buruh dipenjara lapan tahun dan dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu diputuskan Majistret Norina Maludin ke atas Mohd Adhabdullah Haziz, 24, dari Ampang, Selangor yang mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan memperdaya dan guna pas palsu, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh bernasib baik hanya perlu menjalani hukuman penjara selama satu tahun dan empat sebatan selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 20 April 2014.

Mengikut pertuduhan menipu, dia didakwa bersama seorang lagi tertuduh, Hamizah Mohamed Nazri, 28, memperdaya empat remaja lelaki berusia 15 tahun dengan menawarkan tawaran sebagai pelakon tambahan melalui syarikat Media Prima Berhad yang tidak wujud.

Tindakan dilakukan tertuduh mendorong mangsa menyerahkan tiga telefon bimbit bernilai RM1,899 dan wang tunai RM355 di sebuah pusat beli-belah di Bandaraya Melaka pada jam 3.50 petang, 22 Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan denda jika disabit kesalahan.

Bagi semua pertuduhan menyamar, mereka didakwa menggunakan pas palsu Media Prima Berhad menipu semua mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:11 AM