Agensi

London: Guus Hiddink (gambar) melaungkan cabaran kepada pemainnya untuk menjulang tiga ‘kejuaraan’.

Beliau mahu mendakap Liga Juara-Juara, Piala FA dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dalam kelompok empat terbaik.

Ia satu permintaan hebat buat juara bertahan itu yang ketika ini berada di tangga ke-15 Liga Perdana.

“Saya menetapkan sasaran secara umum, Jika sasaran itu mustahil, jangan lakukannya.

“Namun saya meletakkannya di bahu mereka kerana secara matematiknya ia boleh dilakukan, terutamanya ke tangga keempat. Kemudiannya Liga Juara-Juara, seterusnya Piala FA. Kami masih ada tiga sasaran.

“Apa yang penting atau asasnya, mereka mesti buktikan sekarang apa kemampuan mereka. Hasilnya, anda akan mencapai semua sasaran itu.”

Kali pertama beliau bergelar pemangku pengurus di Chelsea dari Februari hingga Mei 2009, Hiddink hanya tewas sekali daripada 22 perlawanan, iaitu kekalahan kepada Tottenham pada aksi Liga Perdana dan menang 16 perlawanan.

Pasukannya menewaskan Everton di Wembley untuk menjulang Piala FA, mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, menduduki tangga ketiga liga, tiga mata di belakang Liverpool dan tujuh mata di belakang juara, Manchester United.

“Pemain ketika itu hebat dan berjiwa pemimpin. Biarpun mereka tidak beraksi dengan baik namun mereka adalah Didier Drogba, Frank Lampard, Michael Ballack dan Michael Essien. Kini kami mempunyai pemain hebat, namun sukar untuk dibandingkan.”

Chelsea menduduki tangga keempat, 10 mata di belakang pendahulu apabila Hiddink mengambil alih pada 2009.

Kali ini, mereka 11 mata di belakang Tottenham yang menduduki tangga keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:05 AM