PELAJAR menyertai perarakan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap junta tentera pada perlawanan bola sepak di Stadium Kebangsaan, Bangkok.
PELAJAR menyertai perarakan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap junta tentera pada perlawanan bola sepak di Stadium Kebangsaan, Bangkok.

Bangkok: Pelajar universiti Thai mengutuk junta tentera negara itu pada perlawanan bola sepak antara dua institusi pengajian tinggi utama negara itu semalam dalam perarakan berwarna-warni mengelilingi stadium Bangkok.

Pelajar berarak membawa kereta berhias buatan sendiri dan kain rentang memprotes pemerintahan tentera yang kini masuk dua tahun.

Perarakan itu tradisi yang sudah lama diamalkan pada perlawanan tahunan antara dua universiti berkenaan - Thammasat dan Chulalongkorn - yang sering bersifat provokatif serta politik.

Namun, sejak dua tahun ini ia turut digunakan sebagai peluang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan tentera yang mengharamkan semua aktiviti politik di negara itu selepas merampas kuasa pada Mei 2014.

“Kenapa tentera berkuasa? Tiada siapa berani bertanya,” kata-kata tertulis di satu kain rentang.

Polis membenarkan perarakan itu diadakan walaupun perhimpunan politik dilarang, namun seorang ketua aktivis pelajar yang menghadiri perlawanan itu ditahan kerana mempunyai waran tangkap sebelum ini berhubung protes lain disertainya.

Polis turut mengarahkan supaya kereta berhias - yang memaparkan pengerusi jawatankuasa perlembagaan - dipotong sedikit supaya tidak nampak terlalu realistik, kata pelajar kepada AFP.

“Kereta berhias itu bermaksud perlembagaan yang dibuat tentera akan menghapuskan hak rakyat,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:04 AM