MOHD Wazir (tengah) bersama anggotanya menunjukkan risalah sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesenyang dirampas. FOTO Farizul Hafiz Awang
MOHD Wazir (tengah) bersama anggotanya menunjukkan risalah sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesenyang dirampas. FOTO Farizul Hafiz Awang
Khairulmizan Yahya


SINDIKET pemberi pinjaman wang tidak berlesen tumpas apabila dua lelaki yang menjadi dalang kegiatan itu dicekup dalam Ops Vulture di Temerloh, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki terbabit masing-masing berusia 27 dan 28 tahun ditahan di premis di bandar Temerloh pada 7.30 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mempunyai lesen untuk beroperasi di Kuantan sahaja sebaliknya mereka menjalankan kegiatan itu sejak tahun lalu di beberapa daerah lain termasuk di Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub dan Lipis.

"Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan mengenakan faedah bayaran balik berjumlah 18 peratus malah menjalankan kegiatan secara terbuka dengan memberi edaran kad pinjaman serta pemasangan kain rentang.

"Mereka yang membuat peminjam dengan sindiket berkenaan termasuk peniaga pasar malam dan penjawat awam dengan kadar pinjaman antara RM1,000 sehingga RM10,000 setiap seorang," katanya dalam sidang media di Temerloh, hari ini.

Mohd Wazir berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas 1,139 keping kain rentang iklan pinjaman memaparkan empat nombor telefon, sebuah kereta, 19 maklumat peminjam dan dua telefon bimbit bersama kad sim.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM250,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 3:25 PM