Adenan ketika menyanyikan lagu di Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2016 anjuran UCA di sebuah hotel terkemuka di Sibu, malam tadi. FOTO Harun Yahya
Adenan ketika menyanyikan lagu di Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2016 anjuran UCA di sebuah hotel terkemuka di Sibu, malam tadi. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


Sibu: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mencipta sejarah tersendiri apabila empat lagu dendangan beliau ketika Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2016 anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi, berjaya mencatatkan kutipan RM1.38 juta yang akan digunakan bagi tujuan amal.

Dalam majlis itu, Adenan mendendangkan lagu kegemaran beliau Can't Help Falling In Love nyanyian Elvis Presley, selain turut menyanyikan dua lagu popular Cliff Richard, Young Ones dan Travelling Light sebelum mengakhiri persembahannya dengan lagu popular Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, Putus Sudah Kasih Sayang.

Sempena persembahan istimewa daripada Ketua Menteri Sarawak itu, syarikat korporat dan orang perseorangan, termasuk tetamu jemputan menyumbangkan dana terkumpul terbabit untuk disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan amal terpilih di seluruh negeri ini.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya Toh Puan Ragad Taib yang juga tetamu kehormat majlis berkenaan.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri Sarawak Puan Sri Jamilah Anu, Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 11:45 PM