GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan, pada 16 September ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, perayaan bertemakan "Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan" itu akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini.

Julaihi yang juga menteri bertanggungjawab menyelaras sambutan itu berkata, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dijadual menghadirinya.

"Turut dijangka hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Julaihi berkata, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah sambutan itu sesuai dengan kedudukan wilayah ini yang selalu dirujuk sebagai contoh semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

"Baru-baru ini, slogan "Segulai Sejalai" (dalam bahasa Iban bermaksud berjalan seiringan) dipilih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai slogan untuk seluruh negara yang bertepatan dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Pemilihan Sarawak juga bertepatan dengan usaha kita yang sentiasa bersatu padu serta sepakat dalam mempertahankan perpaduan," katanya.

Menurutnya lagi, sambutan itu akan dimeriahkan dengan dengan pelbagai acara menarik antaranya persembahan khas, Musical Segulai Sejalai, persembahan daripada tiga wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) oleh artis terkemuka tanahair serta Konsert Rakyat.

Hari Malaysia diraikan bagi memperingati pembentukan Malaysia hasil gabungan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.

Hari bersejarah itu mula diisytihar sebagai Cuti Umum kebangsaan pada 2010 dan sambutan besar-besaran mula diadakan dengan tuan rumah secara bergilir antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Beberapa bandar utama di Sarawak iaitu Bintulu, Miri dan Sibu pernah menjadi lokasi sambutan itu selain Kuching.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 4:44 PM