AHMAD Zahid memeriksa perbarisan pada Majlis Sambutan Hari RELA Ke-44 di Dataran Sibu, semalam.
AHMAD Zahid memeriksa perbarisan pada Majlis Sambutan Hari RELA Ke-44 di Dataran Sibu, semalam.

Sibu: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu bersedia di barisan hadapan bagi membantu polis dan tentera mempertahankan negara, termasuk memerangi pengganas dan kumpulan militan daripada terus bercambah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RELA tidak boleh lagi dipandang sebagai sebuah pasukan yang hanya berkhidmat pada majlis kenduri atau mengawal orang ramai di majlis keramaian.

“Sebaliknya, RELA boleh bersama pasukan keselamatan negara membantu dalam menangani ancaman pengganas di negara ini, terutamanya memerangi perkembangan Kumpulan Militan Negara Islam (IS).

“Sesiapa saja yang mengancam keamanan negara, RELA akan lawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari RELA Ke-44, peringkat Kebangsaan di Dataran Sibu, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan isterinya Puan Sri Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar dan Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah.

Ahmad Zahid berkata, sepanjang 44 tahun penubuhan pasukan RELA, jabatan itu sentiasa memberi komitmen tinggi sebagai antara barisan kedua terpenting dalam menjaga keamanan negara.

“RELA sudah lama dikenali sebagai mata dan telinga kepada polis dalam membantu mengurangkan kadar jenayah di negara ini serta memberi maklumat kepada tentera berkaitan hal kedaulatan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid dan Adenan masing-masing turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM4 juta bagi menyediakan pakaian seragam lengkap untuk lebih 320,000 anggota RELA di Sarawak.

Sejak tahun lalu, kerajaan Persekutuan dan negeri sudah menyumbang sebanyak RM12 juta untuk pembelian pakaian seragam RELA di negeri ini dan memerlukan kira-kira RM8 juta lagi untuk memastikan semua anggota di negeri ini mempunyai pakaian seragam lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:10 AM